Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga
‘Kedayusan’ pengurusan keluarga, kecetekan ilmu agama punca pelbagai gejala dalam masyarakat

LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.
Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan negara.
Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.
Firman Allah yang bermaksud:
“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)
Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.
Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.Sumber: Nurjeehan Hadithuna (Oleh Mohd Zamri Shafie)
10.Aug.2009 (5.05pm)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan