Isnin, 31 Ogos 2009

Kesilapan-kesilapan ketika puasa

Seringkali kita hanya fokus kepada perkara yang membatalkan puasa sahaja lantas kita mengelakkan diri daripadanya.Bagus , itu satu tuntutan Ramadan.

Seperkara lagi ialah kita perlu fokus kepada perkara yang membatalkan pahala puasa.Ini bertujuan untuk kita mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah dan beroleh balasan syurga Allah di akhirat nanti.Untuk kita memelihara pahala puasa kita mestilah mengelakkan dari terjebak didalam kesilapan-kesilapan di bulan mulia ini.

Diantara kesilapannya adalah tidak memelihara lidah dengan selalu bercakap perkara sia-sia dan melakukan perkara yang ustaz huraikan sebelum ini.termasuk kesalahan juga berlebih-lebihan didalam makan minum semasa berbuka.cuba kita bayangkan betapa banyaknya makanan yang kita sediakan semasa berbuka seolah-olah Ramadan adalah pesta makan .Kadang tidak cukup berbuka di rumah kita berbuka di hotel-hotel yang tentunya harganya mahal sekepala munkin mencecah RM 50,60 dan makan pulak boleh sebanyak-banyaknya.Rugilah kita, makan banyak, tak boleh berjemaah,terkadang disediakan pula penari dan penyanyi untuk menghiburkan pembuka-pembuka puasa.Inilah yang akan membiawak panaukan puasa kita.Habislah pahala puasa.Kesilapan lagi ada yang menghabiskan hari puasa dengan banyak tidur.Sebenarnya tidur sedikit pada bulan Ramadan untuk menguatkan badan bagi membolehkan beribadat pada malam adalah sunat. Tapi kalau banyak sampai tiga empat jam jadi makruh yang menghilang hikmah puasa itu sendiri.seterusnya menghabiskan hari puasa dengan permainan sia-sia seperti main game, dam, karem, atau menonton TV,cd,DVD, yang melalaikan maka ini juga akan melanggar adab-adab puasa dan mengikis pahalanya.Diantara kesilapan lain ialah berjaga malam dengan ngobrol kosong,nonton tV saja.Tak ada pahala kecuali berjaga untuk tahajjud, zikrullah, baca Al-Quran dan ibadat lain.Dan kesalahan fatal lain ialah mengabaikan solat berjamaah di masjid atau surau.Sembahyang di rumah tidak menggugurkan tuntutan fardhu kifayah.sikap seperti ini dapat dikatakan tanda-tanda hati kita kurang elok dan menandakan adanya penyakit hati dan matinya jiwanya seseorang . Terdapat dikalangan orang yang berpuasa yang tidak pernah menyentuh al-Quran dan tidak membacanya.mereka lebih banyak membaca akhbar,internet dan meneliti sms di ,handphone,ada juga yang asyik download lagu-lagu dan nada dering sahaja.maklumlah handphone harga beribu-ribu dan funtion bermacam-macam ,asyik dengan handphone sahajalah.jadi masa nak menatap al-Quran tidak ada,kalau ada pun sedikit sangat.Ini adalah kesilapan yang perlu dijauhi.Pada bulan Ramadan juga kita kurang bersedeqah.Sayang duit katanya padahal kalau kita mati duit lebih berpuluh ribu ,tidak digunakan.sayang sekali. tak ada saham akhirat.Dibulan Ramadan juga ada yang kurang merebut kelebihan Tarawikh.Cukup setakat solat isyak kemudian balik menonton drama TV bersama anak-anak dirumah.Orang -orang yang berpuasa juga seringkali membebani keluarga dengan memasak pelbagai juadah makanan.Begitu banyak masa dihabiskan untuk tujuan tersebut menyebabkan tak sempat baca Quran, zikir dan doa .Seandainya mereka menyiapkan makanan ala kadar sahaja tentu ada banyak masa untuk ibadat. masak banyak-banyak pun kadang-kadang tak termakan .. Nafsu memang teringin ketika lapar .......Sama-samalah kita jauhi kesilapan ini....


Sumber artikel: Ust Ruslan

Jumaat, 28 Ogos 2009

Keutamaan Sedekah

Hadith Nabi Saw: "Tidak berkurang harta kerana sedekah, dan tiada seorang yang memaafkan suatu kezaliman melainkan Allah swt menambah kemuliaan, dan tiada seorang yang tawadhuk (merendah) kerana Allah swt, melainkan Allah swt menaikkan darjatnya." (Abu Hurairah r.anhu)

Hadith Nabi Saw: "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka."
(Aishah r.anha)

Sedekah mengandungi 10 kebaikan:

Kebaikan di dunia

1) Membersihkan harta kekayaan
2) Membersihkan badan daripada dosa-dosa
3) Menolak bala dan penyakit
4) Menyenangkan hati orang miskin
5) Menjadikan berkat dalam harta dan meluaskan rezeki

Kebaikan di Akhirat

1) Sedekah itu menjadi naungan baginya
2) Sedekah meringankan hisab amalnya
3) Memberatkan timbangan amal kebaikannya
4) Memudahkan melintasi sirat
5) Bertambah darjat di syurga

Barangsiapa yang menolak lima pekara, maka Allah akan menolak lima pekara daripadanya iaitu:

1) Barangsiapa menolak zakat, Allah swt akan menolak keselamatan hartanya
2) Barangsiapa tolak sedekah, Allah swt akan mengurangi kesihatannya
3) Barangsiapa menolak zakat tanamannya, Allah swt akan menolak berkat tanahnya
4) Barangsiapa tidak suka berdoa, Allah tidak suka untuk menerimanya
5) Barangsiapa yang meringan-ringankan solatnya, Allah swt akan menolak
dari kalimah
syahadah ketika matinya



Sumber: www.iluvislam.com

Khamis, 27 Ogos 2009

Ruh Puasa


Apabila kita berpuasa kita akan menghadapi lapar dan dahaga.Itu adalah perkara biasa dalam puasa.Kita diperintahkan menahan lapar dan dahaga kerana Allah.Nabi s.a.w bersabda dalam hadis Qudsi : Firman Allah : Puasa untukku dan akulah yang berhak membalasnya.Perintah Allah ini mempunyai sangat banyak hikmatnya.Antaranya menanamkan sifat ikhlas kepada Allah,Orang yang berpuasa boleh saja dia makan dimana-mana sahaja secara rahsia tanpa diketahui oleh orang lain.. boleh saja dia makan dalam bilik , didapur dan dimana-mana saja tanpa diketahui orang.Tetapi orang mukmin tidak melakukan demikian kerana dia meyakini bahawa Allah maha mengetahui tindakan yang dilakukan.Inilah iman ...inilah keikhlasan dan keyakinan kepada ganjaran dari Allah.Orang yang berpuasa memang merasa lemah ,tidak kuat dari segi fizikal tetapi ruh mereka kuat.Namun terdapat sebahagian manusia menjadikan bulan Ramadan bulan Kelemahan,bulan kemalasan, bulan kesedihan,bulan untuk banyak tidur dan sebagainya.Mereka mengambil kesempatan Ramadan ini untuk berlingkar diatas tilam-tilam yang empuk ,bangun tidur pukul 11 , 12 tengahari.Begitu juga mereka berkerja dalam keadaan malas, padahal kerja kerana Allah adalah ibadat.Mereka menghabiskan banyak masa dihadapan TV saling bertukar-tukar CD,DVD untuk mempercepatkan masa berbuka kata mereka.Kalau kita mengimbau sejarah lampau sahabat-sahabat nabi berperang pada bulan Ramadan, Peperangan Badar berlaku dalam bulan Ramadan,Salahuddin Al-Ayyubi berperang lawan Kristian pada bulan Ramadan dan sebagainya.Jadi kesimpulan yang boleh ustaz buat Ramadan adalah bulan jihad, bukan bulan bermalas-malas,tidur banyak ,atau menghabiskan masa dalam perkara sia-sia. Dibulan inilah kita perlu berusaha minta ampun kepada Allah, cari pahala, bulan inisiatif, tingkatkan ibadat sunat,hadir majlis-majlis ilmu,berbuat baik kepada manusia.Ustaz teringat kata-kata ulama: Barangsiapa tidak diampunkan Allah pada bulan Ramadan jangan diharapkan keampunan pada bulan yang lain. wallahuaklam.

Sumber: Artikel guruku (Ust Ruslan)

ADAB-ADAB BERPUASA

Ibadat puasa sangat istimewa dan memberikan kesan yang luar biasa kepada manusia mengikut niat masing-masing. Bagi yang berniaga, keuntungannya menakjubkan. Tanya saja kepada penjual-penjual bazar Ramadhan. Yang tak pandai meniaga pun jadi pandai. Tukang jahit? Tak menang tangan menyelesaikan tempahan. Barangkali lepas raya pun belum tentu siap. Para pekerja, baik swasta apatah lagi penjawat awam, waktu rehatnya luar biasa. Majikan semua faham atau terpaksa buat-buat faham. Kesan lain bagi yang amat runsingkan berat badan, alhamdulillah nampak ada kemajuan.

Tetapi kesan yang amat dituntut belum kelihatan atau mungkin gagal untuk dilihat. Kesan yang merupakan tujuan asal pensyariatan puasa iaitu takwa. Di mana silapnya? Adakah pernah kita menjaga adab-adabnya? Puasa seperti ibadat yang lain perlu dilaksanakan dengan memenuhi segala tuntutan dan adab-adabnya. Di antaranya:
  • Bersahur
  • Menyegerakan berbuka puasa
  • Berdoa ketika berbuka
  • Menjauhi perkara yang mengurangkan pahala puasa
  • Bersiwak (gosok gigi)
  • Bersifat pemurah dengan memperbanyakkan derma
  • Sentiasa tadarus Al-Quran
  • Menggandakan ibadat dan bersungguh pada sepuluh akhir Ramadhan.

Mudah-mudahan dengan menjaga adab-adabnya puasa kita diterima oleh Allah dan berjaya membuahkan takwa.

Sumber: Artikel guruku Ust. Mat Isa

Rabu, 26 Ogos 2009

Ibu bapa ‘didik’ anak berbohong tanpa sedar


RAMAI ibu bapa mengeluh apabila anak mereka sering berbohong. Anak yang memiliki kecenderungan berbohong cukup merisaukan mereka dan kalangan pendidik.Ibu bapa tidak mengetahui apa yang menjadi penyebab wujudnya gejala berkenaan. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting untuk membimbing si kecil mengenal mana yang perlu mereka dekati dan mana pula yang perlu dijauhi.

Keluarga adalah tempat pertama si kecil melakukan interaksi. Perilaku ibu bapa sehari-hari akan membentuk keperibadian anak sebagai seorang yang jujur, dapat dipercayai atau sebagai seorang yang suka berbohong.Misalnya, seorang anak mendengar ayahnya berpesan kepada ibu, kalau ada panggilan telefon jawablah dengan memberitahu ayah tidak ada di rumah, sedangkan ia ada di rumah dan hanya ingin berehat serta tidak mahu diganggu. Tanpa disedari si ayah sudah mengajar anaknya berbohong.

Anak yang berbohong ternyata banyak ragamnya. Ahli psikologi membahagikannya kepada tujuh golongan iaitu:

i. Bohong imajinatif.
Biasanya anak senang berfantasi kerana rnengimpikan sesuatu. Apa yang dibayangkan dalam fikirannya sering diungkapkan dalam bentuk gambar. Dia tidak dapat menerima perbezaan antara imajinasi dan realiti. Apa pun yang dikatakannya dianggapnya realiti, padahal orang dewasa menganggapnya sebagai pembohongan.

Mendengar cerita dapat memberi pengaruh yang besar kepada anak. Pada suatu ketika, dia menganggap dirinya sebagai pahlawan dan berikutnya, dia menganggap sebagai doktor ahli bedah. Imajinasi seperti itu adalah petanda yang si anak memiliki akal yang sihat. Ibu bapa tidak perlu khuatir. Tetapi bila perlu, ibu bapa mesti menjelaskan kepada anak siapa dirinya yang sebenar.

ii. Bohong ambiguiti.
Seorang anak mungkin berkata bohong kerana dia tidak secara tepat mengetahui sesuatu kejadian atau kerana membesar-besarkannya. Kadang-kadang dia tidak mampu menjelaskan sesuatu kejadian secara terperinci dan tidak dapat mengungkapkannya secara efektif. Dalam keadaan seperti ini, ibu bapa harus bersabar menghadapinya sambil mencari kebenaran daripada kejadian yang diceritakannya.

iii. Bohong minta perhatian.
Ramai ibu bapa kurang memperhatikan anak mereka, misalnya apa keinginan dan pandangan anak. Bahkan ibu bapa sering melarang anak melakukan sesuatu di depan orang ramai hingga menimbulkan sakit hati pada diri anak. Keadaan ini akan dapat menimbulkan gangguan kejiwaan seperti perasaan tertekan kepada anak. Anak juga belajar berbohong untuk menarik perhatian orang lain terhadap dirinya.

Dalam keadaan ini, seorang anak mungkin misalnya, berpura-pura berlari sambil berteriak: “Rumah pakcik terbakar!” Ketika seluruh anggota keluarga terkejut dan berlari menuju rumah yang disebutkan, si anak berasa senang kerana dengan berbuat demikian dia membalas sakit hatinya. Salah siapa apabila anak berbohong seperti itu?

iv. Bohong kerana dendam.
Kadang-kadang anak bertengkar dan bahkan berkelahi sesama sendiri atau antara adik beradik. Biasanya seorang daripada mereka akan menaruh dendam dan cuba mencari sokongan ibu bapa dengan menuduh yang lainnya berbohong serta dialah yang benar. Ibu bapa atau pendidik harus berhati-hati untuk tidak cepat memihak, apatah lagi pertengkaran atau perkelahian antara anak biasanya tidak mempunyai alasan munasabah. Sebaik-baiknya, ibu bapa berusaha mendamaikan dan berbicara dengan baik pada anak yang berbohong sambil membimbingnya mengatakan apa sebenarnya terjadi.

v. Bohong membela diri.
Bohong jenis ini biasanya dilihat dalam keluarga iaitu ibu bapa bersikap kuku besi. Anak, kerana takut mendapat hukuman fizikal atas kesalahan yang dilakukan, lalu bercakap bohong. Jika keluarga itu diliputi suasana yang intim, anak tidak perlu berbohong. Bahkan mungkin dia terlebih dulu menyatakan persoalannya dan mencari bantuan ibu bapa untuk memecahkannya, atau dia dengan terus terang menjelaskan alasan tindakannya.

Bohong jenis ini sering terjadi berkaitan kegiatan sekolah. Banyaknya kerja rumah yang tidak dapat diselesaikan di rumah menyebabkan anak berbohong untuk menghindarkan hukuman. Dalam hal ini, ibu bapa atau pendidik perlu memperhatikan kemampuan anak agar dia tidak dimalukan di depan teman kelasnya, atau kalau tidak, dia akan terpaksa berbohong.

vi. Bohong egois.
Bohong jenis ini digunakan untuk memperdaya orang lain. Dengan berbohong, seorang anak berasa lebih mudah memanfaatkan orang lain untuk memenuhi keinginannya. Bohong jenis ini bukan sahaja terbatas pada anak, malah ia juga terjadi di kalangan orang dewasa.

vii. Bohong untuk menunjukkan kesetiaan.
Anak-anak berbohong terutama di sekolah kerana kecenderungan dan mereka terikat pada teman kelas. Dalam hal ini, pendidik harus selalu berkata benar walaupun keadaan mungkin menimbulkan kerugian sesaat.

Dalam kebanyakan keluarga, berbohong sudah menjadi epidemik dan ramai ibu bapa melakukannya.Mereka menganggap enteng perilaku tidak terpuji itu dan tidak bimbang perbuatan itu boleh menular kepada anak mereka.

Ibu bapa yang bercakap bohong di rumah akan meracuni jiwa anak dan seterusnya meracuni masyarakat untuk menyimpang dari jalan lurus yang diajar agama.Anak tidak hanya membohongi dirinya atau membohongi orang lain malah akhirnya akan membohongi Tuhan.

Anak adalah amanah Allah. Memberi mereka contoh pembohongan adalah bentuk ketidaksetiaan kepada masyarakat dan kepada-Nya.

Sumber: http://www.ipislam.edu.my

Hukum sugi dan solat sunat bagi orang ada qada solat

Soalan : Apakah hukum bersugi selepas dari tergelincir matahari ?

Jawapan : Sungguhpun ada hadis qudsi menyatakan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum dari kasturi di sisi Allah, tetapi hukum bersugi tetap disunatkan.Imam Nawawi dan Saiyyid Sabiq R.A berpendapat bersugi tetap disunatkan sepanjang hari samada pagi atau petang.

Soalan: Apakah orang yang ada hutang solat(perlu qada) boleh mengerjakan solat sunat termasuk tarawih?

Jawapan ; Ada pendapat ulama mengatakan tidak harus orang yang ada solat qada menunaikan solat sunat.Pendapat ini adalah lemah. pendapat yang rajih atau kuat adalah harus orang yang ada qada solat menunaikan solat sunat termasuk Tarawih kerana kedudukannya berlainan. solat qada untuk menggantikan solat yang ditinggalkan. manakala solat sunat mendapat kelebihan yang tersendiri dan berperanan menampung kekurangan dalam solat. wallahua'lam.

Sumber: Artikel Ust Roslan (http://muhamadruslannet.blogspot.com)

Rabu, 19 Ogos 2009

Kerasukkan, Gangguan & Tanda2nya..



Allah S.W.T menciptakan malaikat, jin dan manusia dengan unsur penciptaan yang berbeza. Kalau sekiranya malaikat yang dijadikan daripada cahaya diciptakan untuk sentiasa taat dan patuh pada perintah Allah. Manakala penciptaan jin dan manusia untuk menguji mereka siapa yang patuh dan taat kepada penciptanya. Mengetahui sifat-sifat manusia dan kecendurangan tidaklah sukar kerana ianya tampak jelas pada pandangan kasar mata kita. Apatah lagi ada undang-undang yang boleh menjamin keselamatan kita bila berurusan dengan mereka.
Yang menjadi masalah ialah untuk mengetahui kecenderungan dan sifat makhluk yang bernama jin ini. Apatah lagi tiada undang-undang dan perjanjian yang perlu dipatuhi oleh kedua belah pihak menjadikan permusuhan dua golongan makhluk ini berpanjangan.
Jin merupakan makhluk mukallaf yang terbesar bilangannya berbanding manusia. Ada kalangan yang beriman dan sebaliknya. Ada lelaki, perempuan, suami, isteri, anak-anak dan sebagainya. Pendek katanya, latar belakang hidup mereka sama sahaja. Namun kecenderungan mereka melakukan pelbagai kerosakkan meninggalkan kesan jangka panjang yang menakutkan. Ini kerana ianya tidak kelihatan pada mata namun dapat dirasakan pada perubahan-perubahan yang tertentu.
Berkongsi pengalaman berdasarkan penglibatan ustaz selama lebih 10 tahun dalam menangani situasi ini dengan pelbagai kaedah rawatan sehingga ustaz bersara dalam bidang ini secara formal sesudah memindahkan ilmu ini secara formal kepada rakan-rakan seperjuangan.
Tanda-tanda mendapat serangan makhluk halus (jin) terbahagi kepada dua; tanda semasa tidur dan tanda selepas terjaga atau lebih mudah dikenali dengan tanda-tanda dalam kehidupan seharian. Berikut ialah tanda-tanda di dalam tidur:
  • kesulitan untuk tidur (Araq)
  • selalu terjaga malam (Qalak)
  • payah bergerak ketika tidur (tindih hantu)
  • mimpi yang menakutkan
  • melihat haiwan-haiwan tertentu dalam mimpi seperti kucing, anjing, tikus, ular dll.
  • bunyi gigi
  • ketawa, menangis atau menjerit ketika tidur
  • mengerang ketika tidur
  • mengingau
  • mimpi terjatuh daripada tempat yang tinggi
  • melihat dirinya berada diperkuburan, tempat pembuangan sampah atau tempat-tempat yang menakutkan

Tanda-tanda dalam kehidupan seharian:

  1. pening yang bukannya disebabkan sakit mata, telinga, hidung, gigi, halkum atau perut.
  2. malas melakukan ibadat
  3. kecelaruan fikiran
  4. lemah semangat
  5. histeria
  6. kesakitan pada anggota tertentu yang sudah dirujuk pada pusat kesihatan tetapi tidak dapat dikesan jenis penyakitnya.

Sebahagian muqaddimah coretan. Insya Allah kalam ini akan bersambung lagi pada artikel akan datang. Semoga ilmu kita sentiasa bertambah. Amien.

Ahlan Ya Ramadhan!!


Selamat memantapkan IMAN, menyempurnakan IBADAH & meraih TAQWA insyaALLAH...

Dari kami sekeluarga..
Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya..Ameen..

Isnin, 17 Ogos 2009

Kuliah Ramadhan 1430H Guruku Ust Mat Isa Deraman

Insya Allah bermula pada awal Ramadhan sabtu 22/8 kuliah subuh Ust. mat Isa akan dilaksanakan

sepanjang musim ibadah yang mulia ini. Kuliah akan diadakan seperti berikut:


Ahad- Surau Al-Khauthar- Kitab Fattu Rabbani
Isnin- Masjid An-Nur Megah Ria- Riyadus Solihin (Taman-taman orang soleh)
Selasa- Masjid Datin Maznah Megah Ria-Haadi Arwah (Sifat-sifat Syurga dan Neraka)
Rabu- Surau Al-Khauthar- Kitab Tamamum Minnah (Amalan ke syurga)
Khamis- Masjid Cahaya Baru- Kehidupan Para Tabien
Jumaat- Surau Al-Husna- Subulus salam (kitab adab Islam)
Sabtu- Surau Al-Bararah-
Kehidupan para Sahabat

Semoga Allah memberi aku kekuatan dalam mengisi setiap saat dengan segala yang membari manfaat
untuk dunia & akhirat.

Ya Allah! Berilah hamba kekuatan & bantulah hamba
dalam melaksanakan ketaatan kepadamu
serta permudahkanlah urusan dunia & akhiratku Ya Allah..

Inilah photo guruku yang kusayangi. Semoga Allah memberikan beliau kekuatan & kesihatan

yang berpanjangan untuk menyampaikan dakwah dalam masyarakat..

Didik anak dengan ilmu, bukan ancaman

3012

KANAK-KANAK boleh mengalami tekanan perasaan jika orang tua bersikap terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada anak melebihi kemampuan mereka. Harapan setiap ibu bapa adalah supaya anak menjadi genius, tinggi kemahiran dalam menyerap ilmu, sempurna akhlak dan kuat ibadat. Walaupun didikan yang diterapkan itu keras dan kejam, mereka tidak peduli, asalkan minda anak tumbuh dan berkembang dengan hebat hingga boleh dibanggakan di hadapan sanak saudara dan kawan-kawan. Bukankah membanggakan keturunan itu juga termasuk dalam kategori riak dan sum’ah? Lagi pula cara dan kaedah yang dilakukan dalam mentarbiah itu bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Jadi, bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk membentuk keperibadian anak mengikut acuan Islam?

  • Seimbang antara memberi khabar gembira dan ancaman.

Pendekatan yang paling sesuai untuk mengajarkan Islam kepada anak adalah dengan kaedah targhib wa tarhib (memberi khabar gembira dan ancaman). Di samping memberi khabar gembira mengenai syurga, harapan mendapat ganjaran pahala dan penjelasan secara mendalam mengenai rahmah dan sifat lemah lembut Allah. Seorang anak juga harus didedahkan khabar yang menakutkan dan ancaman kerasnya seksa Allah bagi menumbuhkan jati diri yang berdisiplin seiring dengan meningkatnya kematangan usia mereka.

Seorang anak yang tidak diperkenalkan dengan sifat Allah Yang Maha Tinggi dan rahmat-Nya tetapi terus diancam dengan seksaan kubur, azab neraka dan ajaran yang berunsur menakutkan, tidak akan berjaya membentuk bingkai pemikiran benar mengenai Islam? Belum mengenal kasih sayang Allah tetapi dipaksa mempercayai bahawa Allah suka menyeksa. Belum mengenal Allah Yang Maha Pengampun tetapi dipaksa meyakini siapa yang berdosa pasti masuk neraka.

Akhirnya anak akan memahami Islam sebagai agama susah, kejam, paksaan dan mengongkong, padahal sistem tarbiah yang diterapkan Rasulullah SAW kepada anak sahabat amat menekankan mengenai sentuhan hati, pujukan dan kelembutan, sesuai dengan fitrah semula jadi kanak-kanak.

Alangkah eloknya kita menelusuri kehidupan anak generasi salaf yang menjadi ikutan dan teladan umat sepanjang zaman. Keagungan sejarah generasi pertama yang dididik oleh baginda ini hendaklah menjadi kamus hidup yang dihafal oleh ibu bapa zaman moden kini, supaya tidaklah dunia yang menyilaukan mata ini juga akan membutakan hati. Akhirnya meranapkan impian membina empayar Islam yang gemilang. Sudahkah anda membaca kisah anak-anak kecil pada zaman turunnya wahyu?

Bolehkah kita bandingkan keelokan budi pekerti mereka dengan anak kita? Bagaimana pula dengan keluasan ilmu dan kekuatan ibadah mereka? Apakah itu semua tidak menggetarkan hati seorang ibu dan bapa seperti kita? Bagaimana mungkin anak Umar al-Khattab, anak Abu Bakar al-Shiddiq, anak al-Zubair al-Awwam hendak disamakan dengan anak kita? Betapa terhirisnya hati apabila memikirkan hakikat kelalaian kita sebagai ibu bapa yang beriman. Inikan hendak mendidik anak, sedangkan diri sendiri masih memerlukan perubahan.

Akhirnya, kita yang kurang iman, ilmu dan amal ini menjadi tidak sabar menghadapi kerenah anak sehingga menimbulkan kesilapan di dalam memahami kaedah tarbiah mengikut al-Quran dan sunnah. Ibu bapa yang mendidik anak dengan cara mengancam, menakutkan, mencederakan emosi anak dengan menengking dan menjerit, memaksakan kehendak tanpa memberi pemahaman ketika menyuruh, bukanlah ibu bapa yang mengamalkan Islam sebagai asas tarbiah.

Tak hairan anak hanya sembahyang jika disuruh dan melalaikannya jika ibu bapa tidak berada di depan mata. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik Abdullah Umar yang masih kecil bagi melakukan sembahyang malam.

Abdullah Umar berkata: “Ada seorang lelaki apabila bermimpi nescaya dia menceritakan mimpinya kepada Rasulullah SAW, maka aku pun berharap melihat suatu mimpi dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Aku adalah seorang kanak-kanak yang masih kecil, aku pernah tidur di masjid kemudian dalam tidurku aku melihat dua malaikat memegang dan membawaku menuju api, tempat itu melingkari seperti sumur yang mempunyai dua tanduk. Di dalamnya terdapat orang yang aku kenal sehingga aku berkata: Aku berlindung kepada Allah daripada api neraka. Lalu datang kepadaku malaikat yang lain seraya berkata: Janganlah kamu takut. Kemudian aku menceritakan mimpi ini kepada saudaranya Hafsah, isteri Rasulullah SAW dan dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW bersabda: Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, jika dia mengerjakan solat malam.” Maka sejak saat itu dia tidak tidur malam kecuali sedikit. – (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah seorang pendidik jiwa terulung. Baginda tidak pernah memaksakan suatu perintah agama tanpa bimbingan, pujukan dan janji serta khabar gembira mengenai ganjaran yang baik. Walaupun Ibnu Umar bermimpi melihat neraka tetapi dia tidak pernah diancam jika tinggal sembahyang malam boleh menyebabkan manusia lalai dan akhirnya masuk neraka. Bahkan Rasulullah SAW memuji dan memberi dorongan bahawa dia akan menjadi pemuda terbaik jika mengamalkan qiamullail.

Rasulullah SAW tidak sama sekali menyebut mengenai neraka dalam sabda baginda itu. Yang ada hanya pujian kepada seorang remaja yang sememangnya hanya bersedia untuk dipuji dan dipujuk, bukan ditakuti dan diancam.

  • Mendidik dengan mendedahkan ilmu bukan sekadar mengancam.

Ibnu Abbas menjadi teladan yang baik sebagai seorang anak yang gemar mengikuti cara ibadat Rasulullah SAW sehingga beliau sengaja tidur di rumah ibu saudaranya, Maimunah, isteri Rasulullah SAW, supaya dapat bersama Rasulullah SAW melakukan qiamullail. Beliau berkata: “Nabi mengusap kepalaku dan mendoakanku agar diberi ilmu takwil (kefahaman dalam mentafsir al-Quran)”. – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Abbas berusia 13 tahun ketika Rasulullah SAW wafat. Maknanya beliau belajar daripada lisan Nabi SAW. Menghafal al-Quran dan hadis di bawah usia itu. Hafalan itu bukan bermatlamat untuk sekadar menghafal dan terkenal bijak tetapi terbukti hafalan itu boleh membentuk iman yang berakar kuat, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya yang tidak berbelah bagi dan kerinduan berdekatan dengan ilmu. Alangkah jauh berbeza dengan anak kita yang belajar al-Quran untuk khatam saja bukan difahamkan hingga menjunam ke hati. Ramai juga yang menghafal saja tanpa memahami maksud apatah lagi hendak mengamalkannya.

Walaupun kita belum mampu mengajar dengan sempurna seperti Nabi SAW mengajar Ibnu Abbas, tetapi sekurang-kurangnya jelaskan maksud ayat Al-Quran itu dengan bahasa yang boleh difahami seorang anak kecil supaya dia mudah mengenal Allah dan Rasul serta bangga menjadi seorang Muslim. Tentu dengan pendedahan ilmu yang sederhana sesuai dengan kapasitinya sebagai hamba Allah yang kecil. Maka dia akan berasa seronok dan gembira mengamalkan Islam tanpa rasa tertekan dan terpaksa.

  • Menghormati anak dan mengiktiraf kredibilitinya.

Khalifah Umar Abdul Aziz pernah didatangi utusan dari kalangan ulama di seluruh negeri yang diperintahnya. Pada suatu hari orang Hijaz datang menghadap Khalifah, maka berdirilah seorang anak muda dari kalangan mereka. Khalifah berkata: “Hendaklah yang bercakap adalah orang yang lebih tua darimu.” Anak muda itu menjawab: Semoga Allah memberi kebaikan kepada Amirul Mukminin, sesungguhnya seseorang itu dinilai dengan dua perkara yang kecil iaitu hati dan lisannya. Apabila Allah menganugerahkan seseorang dengan lisan yang fasih dan hati yang bersih, maka dia berhak untuk berbicara sehingga orang yang mendengar mengetahui keutamaannya.

Wahai Amirul Mukminin, kalaulah setiap urusan itu dinilai berdasarkan usia, nescaya pada umat ini ada orang yang lebih berhak duduk di kerusimu ini.” Khalifah berkata: “Engkau benar, berilah aku nasihat!” Anak muda itu berkata: “Semoga Allah menganugerahkan kebaikan kepada Amirul Mukminin, sesungguhnya seseorang di antara manusia terpedaya dengan kemurahan Allah yang diberikan kepadanya sehingga membuat kakinya tergelincir dan terjatuh ke dalam neraka, maka janganlah engkau terpedaya dengan kemurahan Allah yang diberikan kepadamu dan jangan pula terpedaya dengan panjangnya angan-anganmu serta banyaknya pujian manusia kepadamu sehingga kakimu tergelincir bersama dengan suatu kaum. Mudah-mudahan Allah mengumpulkan engkau dengan orang beriman dari umat ini.”

Khalifah bertanya kepada orang-orang yang datang: “Berapakah umur anak ini? Seseorang mengatakan: Dia masih berumur sebelas tahun. Dia salah seorang anak al-Husain Radhiyallahu Anhum, kemudian Umar Abdul Aziz memuji dan mendoakannya”. – (Ibnu Abdul Bar; al-Tamhid 23/204, al-Sindi; Al-Hasyiyah 8/10 dan Syarah Al-Zarqani 4/257).

Lihatlah, seorang ketua negara mendengar nasihat anak kecil berumur sebelas tahun. Mengapa pula kita tidak mahu mendengar isi hati anak kita? Pendapat dan idea yang boleh dibincangkan bersama sebagai satu didikan kepada anak supaya mereka berasa dihargai, dihormati dan diperakui sebagai insan yang mempunyai hak untuk diperdengarkan pendapatnya, difahami isi hatinya dan diajak bermusyawarah dalam memilih keputusan. Alangkah ramai ibu bapa yang suka memaksa kehendak mereka yang akhirnya merosakkan masa depan anak.

Melahirkan anak yang baik dan sempurna dalam setiap sisi keperibadiannya amatlah rumit dan mencabar, apatah lagi jika kita tidak cukup bersedia disebabkan kurangnya iman, ilmu dan ibadah. Anak bagai kertas putih. Kitalah yang bertanggungjawab mewarnakan mereka sama ada menjadi Yahudi, Majusi, Nasrani atau Muslim hakiki.


Sumber: Oleh Dr Juanda Jaya (Nurjehaan.hadithuna.com)

Sabtu, 15 Ogos 2009


Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentuk keluarga harmoni

BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma’ binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.

Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki” – (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.

Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: “Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga.”

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar.”

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.

Isnin, 10 Ogos 2009

Kekeluargaan

Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga

‘Kedayusan’ pengurusan keluarga, kecetekan ilmu agama punca pelbagai gejala dalam masyarakat

69875

LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.

Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan negara.

Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.

Firman Allah yang bermaksud:

“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)

Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.

Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.

Sumber: Nurjeehan Hadithuna (Oleh Mohd Zamri Shafie)
10.Aug.2009 (5.05pm)

Ahad, 9 Ogos 2009

YANG dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.

handsinmarriage.jpgAda waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.

Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).

Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini?

couple_fight.jpgSeeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.

Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, "Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?" Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaannya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.

Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahi sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.

Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata, "Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya." Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pangasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya."

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:

"Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah."

Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.